Farah Quinn Tak Kisah Dirinya Dikritik


NAMA Farah Quinn, 34, mungkin agak janggal kedengaran berbanding rakan senegaranya, Luna Maya yang pernah memegang tampuk kerusi juri di program realiti TV, Maharaja Lawak Mega (MLM) sebelum ini.

Menggantikan tempat Luna untuk musim baharu MLM 2014, Farah atau nama sebenarnya Farah Farhanah Quinn dilihat makin selesa dengan tugasnya itu.

Biarpun di awal kemunculannya menerusi program itu sering kali dikritik peminat setia MLM, namun Farah tetap optimis dengan pendiriannya dan enggan mengambil pusing pandangan-pandangan negatif itu.



"Walaupun terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta setiap minggu, namun ia satu kepuasan bagi saya.

"Ketika ditawarkan untuk menjadi juri, saya tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran dari pihak Astro. Bahkan menyoal balik mereka, adakah keputusan Astro tepat dengan memilih saya sebagai juri," katanya dengan nada berseloroh.



Akui kurang fasih dengan bahasa Melayu, maka kerana itulah Farah dilihat lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris untuk memberi komen kepada peserta.

Bagaimanapun selepas 11 minggu bersama MLM, Farah berkata, dia semakin menyedari kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu bertambah baik dengan bantuan juri lain, Datuk Jalaluddin Hassan, Taufik Batisah dan Nur Fazura.

Ditanya mengenai cabaran besarnya menerusi MLM, Farah memberitahu, persembahan mengikut tema paling sukar baginya untuk memahami sketsa para peserta.



"Semuanya mengenai filem atau perkara terkini di sini, agak sukar untuk saya fahami kerana masa berada di Malaysia agak singkat.

"Banyak perkara yang saya tidak tahu ada kalanya membuatkan saya terpinga-pinga. Namun saya bernasib baik, ada peserta yang memahami kekurangan saya dan melakukan sketsa yang mudah untuk difahami," ujarnya yang menyukai masakan Malaysia seperti asam sotong dan sambal ikan bilis.

Hosted on: kamithemedia.blogspot.com

Artikel: Farah Quinn Tak Kisah Dirinya Dikritik

0 Response to "Farah Quinn Tak Kisah Dirinya Dikritik"

Post a Comment