Saya tenang dan selesa begini - Adi Putra



Pelakon, Adi Putra pada sidang akhbar filem Isyarat Cinta dan majlis pelancaran Poster Filem dan Kempen Media Sosial di Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KUALA LUMPUR: Sekitar 2013, nama Adi Putra turut berdepan kontroversi yang membabitkan kisah peribadinya.
Sepanjang tempoh itu hinggalah tahun lalu nama Adi juga dilihat sedikit tenggelam dari persada seni.
Selepas lama tidak muncul di kaca televisyen, Adi hujung tahun lalu hadir dengan drama Zahira bergandingan dengan Zara Zya menghiasi slot Samarinda TV3.
Tiada istilah merajuk atau popularitinya dilihat seperti suram sebaliknya Adi memberi tumpuan kepada cabang kerja lain.
Adi sibuk menguruskan syarikat Menara Rezeki yang berkaitan sektor pembinaan dan Menara Hadid Holiday fokus dalam agensi umrah bersama rakan kongsinya.
Bagi Adi apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.
"Saya tak terkesan dengan apa yang terjadi. Ia tak menghalang saya untuk meneruskan kehidupan dan aktiviti seharian. Saya lebih seronok kerana sering ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menyempurnakan hajat sendiri dan orang lain yang mahu ke sana.
"Tahun lepas saja saya sudah enam kali ke sana. Lima kali melakukan umrah dan berpeluang menunaikan haji. Saya tenang dan selesa begini... lebih tawaduk. Hidup ini umpama kitaran. Ada kalanya apa yang kita pilih itu berubah menjadi sebaliknya.
"Dalam saya memperlahankan rentak seni, drama Zahira meledakkan semula slot Samarinda yang suatu ketika dulu cukup diminati ramai. Tak sangka pula drama itu diterima ramai," katanya.
Adi dalam perkembangan lain bakal muncul dengan filem terbitan RK Screen arahan Bade Azmi berjudul Isyarat Cinta. Adi berlakon di samping Liyana Jasmay dan Fizo Omar. Filem itu akan ditayangkan umum pada 19 Mac depan.
Adi melakonkan watak lelaki pekak dan bisu. Malah selama setahun juga Adi banyak belajar dan membuat kajian mengenai bahasa isyarat serta bahasa tubuh seperti di Brickfields. Selama tempoh itu juga Adi berulang alik untuk menyesuaikan dirinya dengan karakter berkenaan.
"Walaupun dia jenis lelaki OKU (Orang Kelainan Upaya), watak Iskandar tetap memerlukannya menjaga ketrampilan diri kerana dia tahu dia lelaki kacak. Watak ini ternyata memberi cabaran tersendiri kepada saya," katanya.
Filem Isyarat Cinta turut akan diadakan tayangan amal perdana pada 4 Mac depan bagi mengutip derma untuk disalurkan kepada mangsa banjir. Tayangan amal ini akan diadakan di
dengan kerjasama bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Tayangan ini akan dilakukan di panggung Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya dekat sini bermula jam 8.30 malam. Tiket dijual pada harga dari RM100 sehingga RM1,000.
Orang perseorangan atau syarikat korporat yang berhasrat membantu kutipan dana bagi tujuan kebajikan ini boleh menghubungi talian 017-3813563 untuk keterangan lanjut.

0 Response to "Saya tenang dan selesa begini - Adi Putra"

Post a Comment