MH370: Rakyat Malaysia Turut Kongsi Kesedihan Di Laman Sosial







KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia turut melahirkan rasa dukacita dan simpati menerusi laman sosial berhubung pengumuman terbaru berkenaan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang 8 Mac tahun lepas.

Mereka yang berkongsi kesedihan itu turut mengucapkan takziah selain berharap keluarga mangsa tetap tabah dan reda terhadap apa yang berlaku.

Kerajaan Malaysia hari ini secara rasmi mengisytiharkan pesawat itu mengalami kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

Seorang pemegang akaun Twitter bernama @mynamefara berkata: “Dapat rasakan kesedihan apabila si suami, si abang, si ayah, si ibu, si anak yang ‘Dianggap Terkorban’ tanpa lihat mayat di depan mata.”

Daripada seorang lagi pengikut, @ainorsarah berkata: “Diharap semua waris keluarga mangsa #MH370 dapat terima ketentuan ini. Alfatihah kpd yg beragama Islam @MAS .”.

Sementara itu, menerusi laman Facebook milik Aida Safie, katanya: “MH370 kemalangan, penumpang kehilangan nyawa- AL Fatihah dan semoga tabah”.

Memetik status Facebook Eiza Harraz pula, ” Meski sukar, semoga khabar MH370 ini diterima dengan tabah … Al Fatihah”.

Pemilik akaun RifqiAkmal pula memberi semangat dengan berkata :”Bila dah isytihar sekurangnya waris boleh teruskan kehidupan … meskipun pahit perlu terima hakikat”.

Selain itu, Damiaarissa memuat naik status berkata: “Allah mengetahui apa yang berlaku, setiap perkara mesti ada hikmah, harap semua reda”.

Bagi Arham Rahim pula berkata “Walaupun sukar kerana tiada bukti yang diperolehi tentang tragedi MH370, tetapi harap keluarga tabah dengan khabar sedih itu”.

Pesawat MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, tahun lepas. Laluan penerbangan pesawat Boeing 777-200ER itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Susulan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi mencari dan menyelamat peringkat antarabangsa dan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 kini hampir 11 bulan.



Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang mengumumkan perkara tersebut pada pukul 6 petang tadi bagaimanapun berkata Malaysia memberi jaminan pencarian pesawat MH370 tetap kekal sebagai keutamaan. – BERNAMA

0 Response to "MH370: Rakyat Malaysia Turut Kongsi Kesedihan Di Laman Sosial"

Post a Comment