Rosmah menegaskan, masyarakat tidak boleh berputus asa dengan sikap remaja ketika ini kerana mereka masih boleh dibentuk untuk menjadi insan yang baik. - Foto arkib TRP
BANGI, 7 Januari:
Gara-gara tindakan sekumpulan ‘Mat Rempit’ yang membuat bising di sekitar rumahnya, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak sering tidak dapat tidur sehingga jam 2 pagi.
“Sebab rumah saya di KL (Kuala Lumpur) tepi jalan, bila tengah malam dengar motosikal bukan main laju dan kuat, lama pula,” kata Rosmah.
Rentetan daripada fenomena itu, beliau merasakan perlu ada suatu tindakan bagi menangani gejala sosial berkenaan.
“Mesti ramai yang berlumba di tengah jalan. Apabila saya dengar itu saya rasa perlulah kita membuat sesuatu kerana memang saya dengan Najib tak boleh tidur sebab dengar bunyi motosikal.
“Kalau dengar bunyi motosikal waktu petang tak apa, tapi ini pagi pukul 2,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program Kem Perkasa Siri 3/2013 hingga siri 8/2014, Selasa.
Rosmah menegaskan, masyarakat tidak boleh berputus asa dengan sikap remaja ketika ini kerana mereka masih boleh dibentuk untuk menjadi insan yang baik.
Katanya lagi, sekiranya remaja ini terus dibiarkan, mereka akan hanyut lebih jauh dengan mengambil dadah, terlibat dengan kegiatan gangsterisme dan semakin tersasar jauh dari jalan yang benar.
“Ketika itu saya melihat banyak gejala-gejala sosial yang terjadi kepada anak-anak muda kita.
“Ini merupakan satu perkara yang perlu diambil berat bagi kita semua, terutama sekali inilah anak-anak kita yang suka naik motosikal. Kita jangan putus asa dengan mereka.
“Potensi positif yang ada pada golongan belia jika dipupuk dengan baik akan dapat berkembang secara sihat dan dengan sendirinya menjadi benteng penghalang kepada pengaruh-pengaruh negatif,” jelas beliau.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/07/mat-rempit-buat-rosmah-dan-najib-tak-boleh-tidur-2/#ixzz3O97uJ9K1
0 Response to "‘Mat Rempit’ buat Rosmah dan Najib tak boleh tidur"
Post a Comment