KUALA LUMPUR: Jika bertemu Syafinaz Selamat, dua soalan klise yang sering diajukan ialah mengenai album terbaru serta perihal kahwin. Guru vokal dan pensyarah muzik ini mengakui dua persoalan itu terus bermain di fikiran namun kesibukan membataskannya.
Selama 11 tahun beliau tiada album terbaharu. Malah, sejak beberapa tahun bertemunya, cerita album tak pernah lekang di mulut dan setiap kali ditanya Syafinaz menyasarkan albumnya akan keluar dalam jangka masa terdekat. Kali terakhir beliau muncul dengan album ialah pada 2002.
Demikian juga dengan kisah kahwin. Di saat usianya kini, Syafinaz memang layak untuk dicintai dan mencintai tetapi jelas sekali beliau masih berstatus solo. Ikuti penjelasan penyanyi lagu Ingin Bersamamu ini.
"Macam mana nak kahwin kalau hari-hari saya sibuk dengan komitmen kerja. Malah dek kesibukan ini juga, album saya terus tertunda. Album saya kini sudah selesai proses adunan. Tapi sesibuk manapun, saya kena pastikan tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.
"Itupun kadang-kadang terbabas tidur lewat. Bukan kadang-kadang lagi balik rumah lewat, tapi sudah selalu pula jadinya. Kalau balik rumah dalam jam 2 ke 3 pagi itu normallah. Tapi tidur kena cukup walaupun sesibuk manapun saya kena jaga waktu tidur untuk kepentingan vokal," katanya dalam pertemuan yang diaturkan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) baru-baru ini bertempat di Muzium Negara.
Ketika temubual Syafinaz turut ditemani temannya yang juga konduktor koir , Amri Zane. Pada 20 dan 21 September ini Syafinaz akan terbabit dengan Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, KL.
Konsert ini anjuran JKKN dan Syafinaz turut bertindak sebagai Jurulatih Vokal, Pengarah Persembahan dan Vokal serta dibantu Pengarah Koir Kebangsaan, Tunku Marina Tunku Datuk Zubir.
Konsert ini akan memaparkan repertoire dan segmen nyanyian lagu berlandaskan klasik seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong serta zapin, dan juga Klasik Barat terdiri daripada lagu dari era Renaissance hingga ke era romantik.
"Konsert ini mengembalikan seni koir itu sendiri yang berasaskan klasikal. Koir Kebangssan sendiri bermula dengan klasikal. Konsert ini mahu penonton lebih menghargai suara dan bukannya membabitkan pergerakan seperti tarian berirama.
"Selama ini kita sudah disogok dengan benda komersial yakni koir yang menyelitkan visual seperti pergerakan yakni tarian. Benar mungkin akan ramai yang lebih menghargai koir sedemikian berbanding klasikal yang lebih terarah kepada berdiri kaku atau sedikit pergerakan.
"Kalau orang tak menghargai koir klasikal, kita tak ada inisiatif menghidupkannya semula. Umpamanya budaya akan terus pupus kalau kita berfikiran sebegitu. Kita harus sedarkan klasikal tidak boring dan kalau tepat pemilihan lagu, ia akan jadi berwarna serta menghiburkan," katanya bersemangat.
Amri pula berkata konsert ini tidak wajar dilepaskan.
"Ia berbalik kepada konsert asal koir yang lebih teknikal dan terarah kepada tumpuan penggunaan vokal seperti nada suara, keseimbangan dinamik. Kita juga mahu mengangkat irama tradisional di Malaysia dalam bentuk koir.
"Ada persembahan solo, trio, kuartet dan beramai-ramai menerusi kumpulan kecil,"katanya.
Syafinaz dan Amri menjelaskan konsert kali ini yang meneruskan kesinambungan konsert terdahulu yang dilaksanakan JKKN sejak tahun 2005 seperti Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2012), Konsert No Wrong Notes (2011) dan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) tidak akan menjemukan penonton yang hadir.
Tiket menonton konsert ini boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz pada harga RM10, RM20 dan RM30. Diskaun turut akan diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Tiket juga boleh dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi 03-41498600.
Pihak Urusetia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum malam konsert berlangsung pada 21 dan 22 September ini di Auditorium DBKL bermula jam 4 petang.
0 Response to "Macam mana nak kahwin kalau... - Syafinaz Selamat"
Post a Comment