TAWAU 24 Jan. - Suasana di Lapangan Terbang Tawau gempar seketika hari ini apabila sekumpulan militan bertindak ‘menawan’ kemudahan strategik itu sebelum ia berjaya ditawan semula menerusi pelbagai teknik dan strategi serangan oleh pasukan Tentera Darat.
Itulah senario yang cuba digambarkan dalam 'Demonstrasi Tempur Tentera Darat' yang diadakan di lokasi itu yang menarik perhatian orang ramai.
Ia merupakan sebahagian atur cara lawatan kerja Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Sabah sejak semalam bertujuan meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan di negeri ini khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone) dalam menjaga keamanan dan mengekang ancaman musuh.
Demontrasi dimulakan dengan aksi 10 anggota dari Briged 10 Para Tentera Darat yang melakukan terjunan daripada ketinggian 25,000 kaki untuk menyusup ke lokasi yang ditawan musuh.
Sejurus itu, empat pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pengeboman ke lokasi musuh diiringi bunyi letupan kuat yang menarik perhatian pengunjung.
Ini disusuli dengan aksi pasukan tempur yang melakukan terjunan daripada pesawat C-130 dan mereka ditugaskan untuk melakukan serangan untuk 'menawan' semula lapangan terbang itu.
Selain mempamerkan aset udara seperti pesawat Hawk, C-130, helikopter Nuri, EC725 dan Agusta, demonstrasi itu juga menampilkan aset darat terbaru iaitu kenderaan berperisai Tentera Darat AV 8X8 yang diberi nama 'Gempita'.
Selepas hampir satu jam tembakan demi tembakan dan letupan demi letupan, pasukan keselamatan negara akhirnya menguasai semula lapangan terbang itu.
Terdahulu, Hishammuddin menyampaikan pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang turut hadir menyaksikan demonstrasi itu. - BERNAMA
Sumber : utusanMalaysia
0 Response to "Lapangan Terbang Tawau gempar ditawan ‘militan’"
Post a Comment