• lisa
 1 / 1 
BIARPUN belum pernah melalui pengalaman hamil lagi, namun ia bukan alasan buat Lisa Surihani mendalami watak sebagai ibu hamil.

Lisa yang tampil melakonkan watak sebagai Aleeya Azmeen dalam filem terbaru terbitan Astro Shaw berjudul Suamiku Encik Perfect 10! mengakui watak tersebut agak mengujinya kerana memerlukan dia mendalami watak Aleeya.

"Dari segi watak, karakter Aleeya agak berat kerana dia terpaksa mengandung anak luar nikah dan banyak permainan dengan perasaan.

"Biarpun tidak pernah berpengalaman hamil, tidak menjadi masalah buat saya kerana saya banyak buat pemerhatian sekeliling dengan melihat orang lain yang mengandung supaya saya dapat lagi mendalami watak.

"Saya juga banyak berbincang dengan pengarah (Mohamed Feroz Abdul Kader) untuk mengetahui apa yang dikehendaki dan disukainya dalam watak Aleeya Azmeen," katanya ketika ditemui pada sesi pratonton filem berkenaan di Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Aaron, Lisa berkata, keserasian yang wujud memudahkan mereka untuk bekerjasama di dalam filem ini.

"Biarpun kami pernah bergandingan dalam filem Ombak Rindu, namun ia hanya untuk beberapa babak sahaja. Filem ini merupakan pertama kali kami digandingkan bersama.

"Bagi saya sendiri komitmen yang ada sebagai pelakon profesional membuatkan kami berdua serasi di layar perak dan keserasian itu wujud secara semula jadi," katanya.

Turut dijayakan Normah Damanhuri, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Raja Ilya dan Jehan Miskin, filem ini akan ditayangkan bermula 22 Januari ini.