Bencana antara sains dan takdir Tuhan


Kejadian tsunami yang berlaku di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada tahun 2004. - Gambar hiasan
Kita sering kali juga berpendapat Malaysia tidak mungkin mengalami taufan atau tsunami secara besar-besaran. Kalau ada pun hanya tempiasnya sahaja. Apakah mungkin kita akan terus-terusan berfikiran sedemikian? Memang benar, Malaysia tidak banyak pengalaman dalam menghadapi kejadian bencana alam yang besar seperti kesan letusan gunung berapi dan ribut taufan.
Beberapa kejadian pernah berlaku ialah ribut Greg pada tahun 1998 yang melanda pantai Sabah dan memusnahkan harta benda. Malaysia merasai tempias kesan gempa dasar laut membawa kepada tsunami pada 26 Disember 2004 di pusat gempa terletak pada latitud 3.316° utara dan longitud 95.854° timur iaitu sejauh 160 kilometer di sebelah barat Aceh di Sumatera pada kedalaman laut kira-kira 10 kilometer.
Gempa ini berkekuatan 9.0 mengikut skala Richter. Tsunami mengorbankan hampir 230,000 nyawa, 125,000 lagi cedera dan 46,000 hilang di 14 negara. Malaysia merekodkan 75 kematian, 6 hilang dan 299 cedera. Pengalaman kita dari segi banjir ialah pada tahun 1926 yang dipanggil 'bah besar' dan berlaku sekali lagi pada tahun 1946. Pada Januari 1971, banjir besar berlaku dan hampir meliputi seluruh negara yang memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat. Seterusnya banjir di Johor pada tahun 1998. Lazimnya, negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang hampir saban tahun mengalami banjir pada setiap hujung tahun dan awal tahun.Bagi ahli geografi, ahli sains dan yang memahami kejadian ini, semua bencana alam ini telah diduga, diramal dan dijangka. Malah manusia sebenarnya telah dimaklumkan menerusi amaran supaya tidak menyemarakkan bencana alam dengan memusnahkan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan, muka bumi atau mencemari udara dengan kloroflurokarbon dan kotoran udara lain.

Ribut Greg yang melanda
Sebelum memahami bagaimana bencana alam berlaku, perlu difahami jenis angin yang datangnya dari arah laut dan sebenarnya adalah asas kepada fenomena kejadian tersebut. Angin monsun bertiup sederhana pada kadar 5 knot atau 10 kilometer sejam dan boleh meningkat kepada 35 knot atau 50 hingga 80 kilometer sejam. Jika tekanan angin menjadi lebih tinggi, maka angin ini akan berubah menjadi lebih ganas.

Peta pergerakan angin siklon.
Kekuatan tekanan angin
Angin ribut, taufan atau siklon adalah bertekanan tinggi dari jenis yang sama dan dibezakan dengan kekuatan atau kelajuan anginnya. Angin ribut ialah keadaan angin kencang dengan kadar kelajuan kira-kira 50 knot atau 100 kilometer sejam. Kelajuan angin ini boleh menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah tercabut atau terangkat. Ribut berserta hujan lebat kadangkala diikuti dengan petir maka jadilah ribut petir. Jika kekuatan angin ribut menjadi bertambah kencang sehingga 200 knot atau 360 kilometer sejam, maka ia menjadi taufan yang mampu meranapkan sekali bangunan, rumah, tumbuh-tumbuhan dan objek lain. Biasanya ia juga diiringi banjir atau bah iaitu limpahan air laut dan hujan lebat.
Kekuatan taufan ini boleh bertambah kuat sehingga mencapai 216 knot atau 400 kilometer sejam. Jika berlaku di kawasan lautan, taufan ini akan menyebabkan ombak besar dan gulungan ombak sehingga menenggelamkan kapal laut besar. Taufan ini dikenali sebagai siklon tropika atau siklon sederhana dunia. Bagi memahami kejadian angin ribut, taufan atau siklon, kita perlu ada imaginasi kuat menggambarkan teori geosains. Angin ini terdiri daripada satu kumpulan udara yang berbentuk seperti satu bulatan dinamai sebagai bulatan siklon. Bulatan siklon ini biasanya bergerak mengikut arah tetap iaitu dari barat ke timur planet bumi. Tenaga yang menggerakkan siklon ini diperoleh daripada air laut panas. Udara panas (biasanya di kawasan tengah lautan) yang bertekanan tinggi ini akan naik ke atmosfera seterusnya akan bergerak ke arah kawasan bertekanan rendah iaitu kawasan daratan dan apabila sampai di tengah-tengah benua dan berbukit, angin ini akan semakin lemah dan lenyap kerana faktor halangan tanah tinggi atau kawasan pergunungan. Ada dua jenis siklon iaitu siklon tropika dan siklon sederhana.
Siklon tropika
Siklon tropika diimaginasikan seperti bentuk bulatan dengan daya tekanan curam, anginnya kencang dan kawasan tengah bulatan ini biasanya hujan sangat lebat dengan suhu sama di sekitar bulatan itu. Siklon sederhana pula digambarkan berbentuk bujur telur dan kurang kecuraman tekanannya berbanding siklon tropika. Angin siklon bertekanan tinggi jika tidak sempat lemah apabila sampai di kawasan daratan disebabkan kepanasan kawasan laut, siklon ini akan mampu meranapkan bangunan, objek, tumbuhan, pantai dan sebagainya yang menjadi laluannya. Pada ketika inilah berlakunya angin ribut atau taufan.
Di Asia Tenggara, negara yang pernah mengalami kejadian ribut besar ialah di Filipina pada tahun 1978. Taufan Rita mengorbankan 100 orang. Di kawasan Asia Tenggara ini, angin bertekanan tinggi (siklon) yang menyebabkan ribut bermula dari kawasan lautan Pasifik dikenali Monsun Timur Laut dan berlaku sekitar November hingga Mac. Ribut Greg di Sabah pada tahun 1998 adalah lanjutan siklon ini. Di Malaysia, ribut yang disebabkan siklon kurang memberi kesan kerana faktor kedudukan negara ini yang dikelilingi pulau seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Kepulauan Irian Jaya, pulau Filipina dan semenanjung Indo-China yang menjadi halangan muka bumi semula jadi. Namun begitu, angin siklon bertekanan tinggi dari timur itu kadangkala tidak sempat menjadi lemah (teori tidak menjadi) walaupun terdapat halangan pulau atau benua kerana dibantu oleh keadaan kepanasan kawasan Lautan Pasifik, Laut China Selatan, Laut Sulu dan mungkin juga Laut China Utara. Dengan suhu bertekanan tinggi itu membolehkan ia sampai ke Pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor) dan juga pantai timur dan utara Sabah dan Sarawak. Siklon ini menurunkan hujan lebat berserta angin ribut. Tidak mustahil kawasan ini berisiko banjir, bah (air melimpah) dan ribut.

Banjir yang melanda Pantai Timur Semenanjung lazim
Aktiviti manusia bantu kejadian bencana alam
Aktiviti manusia di bumi sama ada kecil atau besar sangat membantu kejadian bencana alam. Satu kajian menyebut, sebatang pokok dapat menyerap 400 gelen air. Bayangkan jika beratus ribu pokok ditebang, ke manakah air yang dikandungnya? Tentulah air ini tidak terserap dan menjadi 'larian air' di permukaan tanah yang memberi kesan hakisan, mendapan dan perubahan fizikal tanah.
Dalam sesuatu keadaan, angin lazim iaitu angin monsun barat daya, monsun timur laut, angin baratan, angin sumatera dan angin perantaraan (antara monsun) boleh bertembung atau bercantum sesama sendiri dan menjadi tidak stabil. Akibatnya, angin-angin ini menjadi berpusing-pusing lalu berlakulah apa yang dipanggil angin puting beliung. Tidaklah hairan, kawasan di luar sistem angin pada satu-satu musim monsun, berlakunya kejadian ini. Buktinya, ketika Pantai Timur Semenanjung mengalami tekanan udara (siklon) dari Monsun Timur Laut yang tinggi yang mana banjir, bah dan ribut terjadi, kawasan Pantai Barat yang sepatutnya reda daripada tiupan Monsun Barat Daya pula mengalami puting beliung pada akhir Disember lalu walaupun tidak meranapkan harta benda kerana laluannya atau sistem pusingannya berlaku di atmosfera.
Kesimpulannya, manusia perlu berfikir mengenai kebesaran kuasa Allah yang menjadikan sesuatu itu.
"Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendakkan sesuatu maka Dia hanya mengatakan kepadanya: Jadi, maka jadilah ia" (Surah Al-Baqarah ayat 117).
Manusia juga disuruh berfikir bagaimana bencana alam atau malapetaka alam itu terjadi. Sains dan geografi telah banyak memberi bukti dan bukan sahaja teori, malah praktikalnya. Allah SWT telah menunjukkan dengan jelas. Rakaman satelit dan ramalan pakar kaji cuaca semuanya hampir benar belaka, tetapi berapa ramai berfikir dan mengambil iktibar?
"Sesungguhnya, dalam kejadian langit dan bumi serta bersilih gantinya malam dengan siang itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang suka berfikir" (Surah Ali-Imram ayat 190).
"Apakah mereka tidak memperhatikan pada unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan juga bumi, bagaimana ia dikembangkan? Maka dari itu berikanlah peringatan kerana engkau itu hanyalah seorang yang bertugas memberi peringatan" (Surah Al-Ghasiah ayat 17 hingga 21).
Penulis ialah Guru Geografi dan Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor

0 Response to "Bencana antara sains dan takdir Tuhan"

Post a Comment