QZ8501: Dua mayat ditemui dalam keadaan sempurna


ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia menemui mayat mangsa yang dipercayai dari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ketika operasi SAR di Laut Jawa hari ini. - Foto AFP
SURABAYA: Pemeriksaan awal forensik di Hospital Bhayangkara mendapati mayat seorang lelaki dan perempuan daripada pesawat malang AirAsia Indonesia QZ8501 berada dalam keadaan sempurna, cukup sifat dan masih utuh.
Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Besar, Budiyono, berkata kedua-dua mayat itu bagaimanapun sudah berbau kerana mangsa telah meninggal dunia kira-kira tiga hari lepas.
Katanya, kedua-dua mayat itu kini berada di Hospital Bhayangkara, kira-kira 40 kilometer dari Surabaya, untuk menjalani proses bedah siasat dan identifikasi.

"Maklumat lanjut mengenai identiti seperti umur dan sebagainya belum lagi boleh diperoleh kerana forensik baru menerima jenazah petang ini.
"Kami memerlukan waktu untuk mendapatkan identiti jenazah. Team kami sedang bekerja keras," katanya pada sidang akhbar di pekarangan hospital itu lewat petang tadi.
Beliau berkata, pelbagai pakar lain dari bidang patologi, DNA, dan orthodonlogi (pergigian) turut terbabit dalam bedah siasat itu.
Difahamkan kira-kira 20 doktor dan pakar bedah siasat bersiap sedia untuk menjalankan proses bedah siasat yang dijangka dimulakan secepat mungkin dan siap dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Pihaknya juga berharap untuk mendapatkan identiti dua mayat ini dengan kadar segera seperti membandingkan sampel gigi dan tulang mayat dengan data waris dan keluarga dalam simpanan mereka.
"Namun semua keputusan dan segala-galanya bergantung kepada kecepatan proses bedah siasat," katanya.
Pada kebiasaannya, sebaik selesai proses bedah siasat dan identifikasi, mayat akan diserah kepada waris dan ahli keluarga sebelum disembahyangkan dan disemadikan mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Tinjauan BERNAMA mendapati beberapa waris dan ahli keluarga telah mulai tiba bagi mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini.
Difahamkan Pusat Krisis yang sebelum ini diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, akan dipindahkan ke hospital ini.
Dilaporkan, enam mayat, tiga lelaki dan tiga perempuan termasuk seorang kru penerbangan, masih lagi dalam proses untuk dibawa keluar oleh pasukan misi mencari dan menyelamat di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, kira-kira sejam penerbangan dari Surabaya.
Cuaca buruk dengan ombak setinggi tiga meter menjejas operasi mencari.
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.
Kru pesawat itu terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis.
- BERNAMA

0 Response to "QZ8501: Dua mayat ditemui dalam keadaan sempurna"

Post a Comment